16 Aug 2012

Apakah itu skizofrenia



“Mereka bilang aku gila.” Tegas seorang lelaki pesakit skizofrenia kepada tuan doktor di sebuah hospital sakit jiwa. Berulang-ulang kali diulangnya begitu. Ironinya, sememangnya yang berkata-kata itu adalah salah seorang pesakit jiwa yang dirawat di hospital tersebut. Akan tetapi, apakah yang membuatkan dia begitu yakin dirinya normal?

Jika diteliti kondisi lelaki tersebut, dia sebenarnya mengalami gangguan pemikiran dan sering memiliki khayalan serta halusinasi. Manifestasi daripada khayalan ini adalah mengeluarkan perkataan yang bukan-bukan. Halusinasi tersebut benar-benar dapat didengar, dilihat, bahkan dirasai oleh si penderita.
Seringkali halusinasi mengarahkan tindakan penderita, mengingati suatu bahaya atau memberitahu dia apa yang harus dilakukan. Bahkan tak jarang si penderita asyik bercakap-cakap dengan para tokoh yang muncul dalam halusinasi ini.
Para penderita skizofrenia sangat yakin bahawa apa yang ia dengar dan lihat juga didengar dan dilihat oleh lingkungan sekelilingnya. Keyakinan ini, kadang-kadang menjadi halangan terbesar bagi penyembuhannya. Kerana jika si penderita masih meyakini halusinasinya, maka ia tetap menganggap dirinya waras.
Apakah itu schizophrenia?
Skizo membawa maksud retak, sedang frenia ertinya jiwa. Oleh yang demikian, seorang yang menderita skizofrenia adalah seorang yang mengalami keretakan jiwa. Gangguan skizofrenia mempengaruhi pelbagai area fungsi individu, termasuk berfikir dan berkomunikasi, menerima, dan menginterpretasikan realiti, merasakan dan menunjukkan emosi, dan berperilaku dengan sikap yang dapat diterima secara sosial.
Sedikit orang tahu bahawa John Forbes Nash Jr., peraih hadiah Nobel bidang Ekonomi tahun 1994, adalah seorang penderita skizofrenia, sampai kemudian sebuah filem yang digarap mantap oleh sutradara Hollywood, Ron Howard membiografikan kisah hidupnya dalam A Beatiful Mind. Dalam filem yang dibintangi oleh Russell Crowe tersebut, susuk tubuh John Nash mengundang banyak simpati..
Filem A Beatiful Mind menggambarkan dengan cukup menarik bagaimana John Nash berkomunikasi dengan tokoh-tokoh khayalannya seolah mereka benar-benar nyata. Ia bahkan meyakini dirinya terlibat dalam sebuah konspirasi militan tingkat tinggi.
Hayati pula bagaimana kisah Amylia dalam novel Rahsia Perindu digarap kemas oleh penulis thriller nombor satu Malaysia, Ramlee Awang Murshid. Amylia, seorang peguambela, bersetuju membela seorang penjenayah yang kemungkinan besar akan menghadapi hukuman mati mandatori kerana membunuh. Tidak tertahan dengan dugaan yang dialaminya, suatu hari Amylia jatuh pengsan. Dan satu demi satu persoalan mula dibongkar oleh Ramlee dengan liciknya bila mana Amylia sebenarnya merupakan seorang pesakit skizofrenia yang mengalami halusinasi tanpa disedarinya dia sendirilah pembunuh yang dicari-cari.



Bagaimanakah skizofrenia terjadi?
Skizofrenia merupakan penyakit yang mempengaruhi otak. Pada otak terjadinya proses penyampaian maklumat secara kimiawi (neutotransmiter) yang akan meneruskannya ke sekitar otak.
Pada penderita skizofrenia, produksi neurotransmiter dopamin berlebihan, sedangkan kadar dopamin pada bahagian lain dari otak terlalu sedikit. Dopamin tersebut berperanan penting pada perasaan senang dan pengalaman mood yang berbeza. Bila kadar dopamin tidak seimbang (berlebihan atau berkurangan), penderita akan mengalami gejala-gejala skizofrenia.
Apakah skizofrenia dapat disembuhkan?
Ubat antipsikotik banyak diedarkan di pasaran yang disarankan oleh doktor. Meskipun efektif mengatasi gejala-gejala skizofrenia, ubat ini menimbulkan pelbagai efek sampingan seperti kekakuan otot, gerakan kaku seperti robot, mengantuk, sindrom metabolik seperti peningkatan berat badan (kegemukan), diabetes melitus, meningkatnya hormon prolaktin dalam darah sehingga menyebabkan gangguan seksual, amenorrhoea (tidak haid), galaktorrhea (keluarnya air susu) dan ginekomastia (membesarnya payudara pada lelaki).
Kesimpulan
Penyakit skizofrenia adalah salah satu daripada penyakit jiwa yang serius melanda manusia dewasa ini, namun itu tidak bermakna pesakitnya tiada harapan untuk sembuh seperti sediakala. Selagi ada usaha, di sana masih ada jalannya.
Sabda Rasulullah SAW: “Li kulli daain dawaa’. Illal maut.”
Maksudnya: “Bagi setiap penyakit itu ada ubatnya, melainkan mati.”

No comments:

Post a Comment